News & Events .
MRA-SB Website
BACK TO ALBUMS
IRM, MRA International jana ekonomi Orang Asli
April 2, 2019
PHOTOS

SEBAHAGIAN peserta projek pendidikan pertanian cendawan tiram kelabu anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dan MRA International Sdn. Bhd. bergambar bersama Pengarah Partner Care IRM, Kamarul Halim Sakrani (berdiri, enam dari kiri) dan Pengarah Urusan MRA International, Mohd. Hazim Hassan (berdiri, tujuh dari kiri), baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 2 April - Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama MRA International Sdn. Bhd. (MRA International) selaku penaja projek mengambil langkah proaktif bagi menjana ekonomi masyarakat Orang Asli menerusi pelaksanaan projek pendidikan pertanian cendawan tiram kelabu.

Projek yang dilaksanakan kepada komuniti Orang Asli Bukit Tampoi di Dengkil, Selangor itu bertujuan untuk membuka peluang meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan masyarakat itu di samping memberi pendedahan ilmu pertanian baharu.

Pengarah ‘Partner Care’ IRM, Kamarul Halim Sakrani berkata, projek berkenaan turut diadakan bagi melonjakkan taraf kehidupan yang mampan kepada penerima manfaat.

“Objektif IRM dalam merangka projek ini bukan sahaja menyasarkan kepada golongan dewasa Orang Asli, malah diharap dapat menarik minat pelajar sekolah terutama Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi, Dengkil.

“Semoga pelajar sekolah ini sentiasa bersemangat untuk hadir ke sekolah dengan adanya persekitaran baharu yang menarik menerusi projek pertanian cendawan tiram kelabu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan MRA International, Mohd. Hazim Hassan menyifatkan pemilihan tanaman cendawan tiram kelabu dibuat kerana tumbuhan itu menjadi hidangan yang semakin popular dan banyak ditanam secara komersial di seluruh dunia.

Katanya, meskipun tapak perusahaan cendawan tiram kelabu itu hanya bersaiz kecil tetapi impaknya dilihat sangat besar kepada komuniti Orang Asli.

“Saya rasa sangat gembira melihat perkembangan projek dan mendengar berita hasil tuaian pertama dan jualan cendawan yang berjaya diperolehi dalam tempoh yang singkat.

“Saya juga dapat melihat semangat dan kegembiraan di wajah peserta apabila menunjukkan hasil tuaian perusahaan kepada kami,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE